Pages

Popular Posts

Thursday, March 14, 2013

Peraturan Bilik Darjah



Apakah itu peraturan di bilik darjah? 

Peraturan ialah kenyataan yang memaklumkan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah.


Kenapa perlu ada peraturan di bilik darjah?

Supaya mereka (murid-murid/ kanak-kanak) akan lebih berdisiplin. Sikap mereka akan terbentuk kepada yang lebih positif. Menurut Erik Erikson, kanak-kanak pada peringkat ini mula mendapat pengalaman baharu dan berfokus kepada pembelajaraan pengetahuan dan kemahiran baharu ini. Tetapi, murid pada peringkat ini memerlukan struktur dan prosedur-prosedur kerja yang jelas agar mereka boleh berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. 



Fokus dalam peraturan di bilik darjah :

  • Ayat peraturan mesti ringkas, jelas dan mudah untuk difahami
  • Peraturan akan dipersetujui oleh murid di dalam bilik darjah tersebut supaya mereka mengingati peraturan tersebut dan kemudiannya akan mematuhi peraturan.
  • Hadkan peraturan di dalam kelas. Contohnya hanya ada lima (5) peraturan di bilik darjah bagi mengelak murid-murid terkeliru dengan peraturan yang lain. As old folk saying, Less is More :)
  • Peraturan yang dibuat perlulah adil dan tujuan peraturan dibuat membantu proses pembelajaran. Elak guna perkataan "JANGAN............" 
  • Peraturan yang dibina tidak terhad dalam bilik darjah sahaja. Jika dapat, biarlah ia dapat diaplikasikan ke dalam kehidupan seharian juga.
  • Semestinya peraturan yang dibina selaras dengan peraturan sekolah dan tidak bercanggah dengannya. 


Contoh peraturan di bilik darjah. Biar ringkas tapi PADAT dan DIFAHAMI :)


Wednesday, March 13, 2013

Aktiviti 3 (Apa yang kamu dapat apabila tukar…..)


Apa yang kamu dapat apabila tukar…..

Aktiviti ini melibatkan metakognitif yang dimaksudkan dengan ‘pemikiran tentang pemikiran yang kamu lakukan’. Dalam melakukannya kita mesti memikirkan apa yang hendak dilakukan dahulu atau berfikir di luar jangkaan dan tidak logik namun boleh menjadi logik sekiranya terdapat rekaan baru yang kreatif dan inovatif.

Aktiviti ini boleh dijalankan:

1)   Guru menanya murid: Apa yang kamu dapat apabila tukar A dengan B, tukarkan rumah dengan kereta, topi dengan baju dan sebagainya.

2)   Kebanyakan murid akan serta-merta membuat tanggapan tentang benda tersebut dalam minda mereka dan berfikir untuk melakukannya.

3)   Pada masa itu, murid-murid akan berfikir bahawa idea tersebut seolah-olah tidak logik atau tidak praktikal pada permulaannya namun ia juga mungkin berkembang menjadi ciptaan baru yang berguna. Guru akan kata…

4)    Apa yang kamu dapat apabila tukar sesuatu benda ke benda lain memang tidak logik namun ia akan jadi kenyataan sekiranya kita berfikir secara kreatif dan inovatif. Murid akan menjadi teruja untuk berfikir sesuatu yang baru untuk diciptakan. 

Aktiviti 2 (Kotak Ajaib)


Kotak ajaib

Aktiviti menggalakkan murid untuk menanya soalan yang berkaitan dengan diri mereka atau keadaan sekeliling mereka. Dalam masa yang sama juga aktiviti ini boleh dikatakan sebagai “mind games” di mana dalam kotak tersebut ada komputer (hanya imej) atau hanya kotak yang dibalut bagi melambangkan komputer.


Aktiviti ini dijalankan seperti berikut:

1)Guru berkata kepada pelajar: dalam kotak ini ada komputer yang paling bijak di dunia. Komputer ini ada internet jadi ia boleh mendapatkan maklumat sangat laju. Sekiranya kamu ada soalan sila kemukakan apa-apa soalan pun dengan menulisnya di atas kertas. Guru akan memilih beberapa soalan yang ditanya oleh murid kepada komputer tersebut. Sambung…

2) Walaupun begitu, komputer ini hanya akan menjawab soalan yang betul-betul murid itu tidak tahu jawapannya. Dalam hal ini akan mengalih pelajar ke arah yang lebih selesa lagi.

3)Disebabkan itu komputer ini hanya akan menjawab soalan yang jelas maksudnya. Contohnya murid menanya mengenai ‘Bagaimana hendak menjadi pelajar cemerlang?’ jadi di sini akan membincangkan mengenai ‘cemerlang’. Dalam hal ini murid akan mengajukan banyak lagi soalan. Guru akan kata…

4)‘Komputer ini menggunakan banyak kuasa elektrik jadi baterinya sudah lemah. Ia hanya boleh menjawab tiga soalan sahaja lagi. Murid-murid akan menunggu untuk menanya soalan lagi di masa akan datang kepada komputer yang bijak.

Aktiviti 1 (TIru Macam Saya)


Tiru macam saya
Aktiviti ini boleh menarik perhatian murid ketika belajar kerana menggalakkan murid untuk sikap yang positif atau mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi dalam diri mereka. Selain itu juga, aktiviti ini boleh mengembangkan lagi kemahiran emosi dalam diri murid kerana emosi itu amat penting dalam sesuatu pembelajaran dan pengajaran.




Aktiviti ini boleh dilaksanakan dengan:

1) Guru berkata: Hari ini adalah hari yang paling istimewa oleh sebab itu setiap kamu akan mendapat sekeping kad. Kad tersebut sangat berguna untuk kamu semua sepanjang pembelajaran berlangsung.

2) Di dalam setiap kad tersebut terdapat satu sikap positif yang kamu akan ikut sepanjang pembelajaran berlangsung dan akan dilekatkan di baju sekolah supaya guru dapat mengetahui sikap positif yang terdapat pada murid tersebut. Contohnya sikap ‘rajin’. Pelajar akan menunjukkan sikap yang rajin semasa pembelajaran berlangsung.

3) Sekiranya pelajar dapat melakukan aktiviti ‘ tiru macam saya ‘ maka akan diberi ganjaran seperti token atau bintang yang akan dilekatkan di baju sekolah atau di beg sekolah.

4  Murid akan menjadi tertarik dan semangat untuk belajar kerana mereka diberi penghargaan setelah melakukan aktiviti ‘ tiru macam saya ‘. 

TUGAS DAN PERANAN GURU


TUGAS DAN PERANAN GURU

Tugas guru adalah mengajar atau memberi ilmu pengetahuan kepada murid-murid, malah guru juga ditugaskan untuk memberi pendidikan yang berkesan kepada generasi muda.

Untuk melaksanakan tugas tersebut seorang guru haruslah:

1) Membuat persediaan mengajar bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran berlangsung dengan jayanya.

2) Membaca dan membuat penyelidikan untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang baru supaya dia mencapai matlamat pengajarannya dengan lebih sempurna dan berkesan.
Peranan guru adalah pemimpin masyarakat, pembimbing dan pengajar. Seorang guru juga haruslah melaksanakan sepenuhnya konsep “Kepimpinan melalui teladan” dan dapat memimpin generasi muda ke arah kehidupan yang selamat dan sejahtera. Selain itu juga, seorang guru juga diharapkan untuk membentuk nilai dan akhlak yang baik kepada pelajar.

CIRI-CIRI GURU YANG SANGAT BERKESAN

1.    Pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu subjek.

2.    Perancangan yang teratur.

3.    Pengetahuan tentang Pentaksiran dan Penilaian.

4.    Memahami pelajar dan bagaimana mereka belajar.

5.    Memotivasikan pelajar untuk belajar.

6.    Mencipta bilik darjah yang selamat, produktif dan terurus.

7.    Celik dalam bidang teknologi.

8.    Memahami dan mengiktiraf kepelbagaian.

9.    Mempromosi hubungan Rumah-Sekolah-Komuniti.

10. Komitmen kepada Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pembangunan Profesional.




PENGURUSAN BILIK DARJAH YANG KONDUSIF


       Pendahuluan
Persekitaran fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana ia boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Persekitaran bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.
Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Ruang bilik darjah perlu diurus bersesuaian dengan aktiviti pengajaran. Tempat duduk perlu disusun, papan kenyataan dihias dan karel pembelajaran dan rak-rak buku perlu dipasang. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum. Seorang guru haruslah sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anak murid mereka.
Bagi memainkan peranan sebagai pengurus yang berkesan, kita perlulah memahami kesukaran situasi bilik darjah dan mengenali faktor-faktor yang boleh membantu untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang sihat.

              Konsep Persekitaran Bilik Darjah Yang Kondusif
Persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran ini mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk terus belajar. Iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada suasana atau budaya yang dapat mewujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah mencapai matlamat pembelajaran. Seorang guru perlu membina keadaan bilik darjah yang kondusif serta berkesan dalam menghadapi tingkah laku. Hal ini melibatkan pendekatan pengajaran, corak komunikasi, kemahiran guru dalam mengurus, cara seseorang guru mengawal murid dan aktiviti-aktiviti dalam bilik darjah serta personaliti guru itu sendiri. Dalam persekitaran ini, murid menyedari kelebihan sikap berdikari  mempunyai perasaan bertanggungjawab dan kesepunyaan terhadap pembelajarannya.

                          Persekitaran Fizikal
Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.  Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Persekitaran yang selesa, kemas dan ceria mampu menyeronokkan pengalaman pembelajaran murid.  Persekitaran fizikal di dalam bilik darjah merangkumi aspek-aspek seperti susunan dan reka bentuk fizikal di dalam bilik darjah, sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding, pengcahayaan, pengudaraan dan perabot serta kebersihan. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum.

                           Persekitaran psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan di dalam bilik darjah.  Jika persekitaran psikososial ini tidak dititikberatkan oleh guru, masalah disiplin akan berlaku dalam kalangan murid.  Oleh itu, bagi menguruskan keperluan psikososial setiap murid, guru perlulah menjadi seorang guru yang asertif. Mengikut Model Disiplin Asertif Canter, pendekatan yang terbaik untuk menguruskan bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru asertif mempunyai matlamat yang jelas dengan pengurusan, yakin dan tegas dalam menetapkan peraturan dan pada masa yang sama akan bersikap adil kepada semua murid. Jika seorang guru ini konsisten bersikap asertif ini dapat membantu membina persekitaran yang tenang dan menyokong perkembangan pembelajaran dan psikososial murid.

            Peraturan dan rutin bilik darjah
Pada umumnya, murid sekolah rendah mula berdikari namun mereka masih memerlukan pemantauan. Pada peringkat ini, mereka suka diberi perhatian dan menunjukkan respon yang positif apabila diberi insentif atau hadiah. Menurut Erik Erison, kanak-kanak pada peringkat ini mula mendapat pengalaman baharu dan berfokus kepada pembelajaran pengetahuan dan kemahiran baharu. Namun, murid pada peringkat ini memerlukan struktur dan prosedur-prosedur kerja yang jelas agar mereka boleh berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlulah membina peraturan dan prosedur untuk mentadbir aktiviti dalam bilik darjah. Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh murid. Contoh peraturan yang biasa ditemui ialah setiap murid perlulah mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan tugasan mereka dan murid perlu mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab sebarang pertanyaan.  Mengikut Model Pengurusan Kounin, asas kepada keberkesanan pengurusan disiplin bilik darjah bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru terhadap bilik darjah. Faktor utama dalam menguruskan tingkah laku di dalam bilim darjah menurut Kounin adalah berkaitan dengan kebolehan guru untuk mengawasi semua perkara yang berlaku di dalam bilik darjah. Contohnya, dalam gerak kerja kumpulan, seorang guru berjaya mengawasi dan berinteraksi dengan semua kumpulan kecil walaupun pada ketika itu dia sedang mengajar kumpulan yang tertentu. Dengan kepekaan ini, seorang guru berupaya menjangka masalah yang akan timbul dan selalunya dapat menghalang masalah daripada menjadi semakin serius.
Selain itu, guru juga akan membentuk rutin di dalam bilik darjah untuk aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Rutin ialah prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti oleh murid dalam aktiviti spesifik mereka. Rutin bertujuan melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh amalan rutin ialah guru mengambil kehadiran setiap hari, cara mengedar dan menyimpan bahan pengajaran, membentuk kumpulan dalam kelas, menghantar buku latihan atau kerja rumah dan lain-lain. Setiap rutin yang dibentuk hendaklah sentiasa dipantau dan diberi peneguhan sehingga prosedur-prosedur ini menjadi satu budaya dalam kalangan murid dan seterusnya menjadi suatu budaya di sekolah tersebut. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.

     Cadangan Membina Persekitaran Bilik Darjah yang Kondusif
            Meja guru
      Meja guru diletakkan di belakang kelas dan berada di tengah. Kedudukan seperti ini adalah amat sesuai sekali diaplikasikan terutama pada murid Tahun Satu. meja guru juga hendaklah menghadap meja murid bagi membantu berlakunya konteks visual antara murid dan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan meja guru di belakang ini juga  tidak menghalang penglihatan murid pada papan putih semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan ini juga dapat memaksimumkan pemantauan guru terhadap setiap murid dari setiap sudut. Apabila murid mengetahui setiap gerak geri  nya diperhatikan, mereka akan dapat membuat kerja berkumpulan atau individu dengan sebaiknya. Dengan itu, kedudukan ini dapat mencapai keselesaan guru dan dapat merangsang semangat untuk guru mengajar dalam emosi yang positif.
            Kerusi dan meja murid
      Perkara utama yang mesti diberi perhatian pada setiap kerusi dan meja murid ini ialah kuantiti kerusi dan meja adalah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik dan selamat. Untuk tujuan keselasaan, saiz kerusi dan meja harulah sesuai dengan peringkat tahap umur murid. Bagi susunan pula, meja murid disusun secara berkelompok di mana meja disusun secara berempat. Susunan ini memudahkan pengajaran berpusatkan murid. Selain itu, susunan ini dapat menggalakkan interaksi antara murid semasa gerak kerja kumpulan. Pada masa yang sama, murid juga masih boleh fokus kepada kerja sendiri. Susunan kelompok membolehkan murid berbincang, meluahkan pendapat, saling membantu dan berkongsi bahan semasa gerak kerja berkumpulan. Walau bagaimanapun, untuk membuat susunan secara berkelompok ini, guru hendaklah memastikan bilangan murid tidak terlalu ramai dan keluasan kelas hendaklah luas. Guru juga hendaklah memantau ahli kelompok supaya boleh bekerjasama dan bukan medatangkan kesan negatif kepada kumpulan.  Guru juga bolehlah menempatkan setiap murid dalam kumpulan mengikut pencapaian mereka. Hal ini akan memudahkan guru memberikan tugasan atau latihan selaras dengan pencapaian murid. 
            Sudut multi-media
   Selain faktor udara, perabot dan ruang, persekitaran fizikal bilik darjah abad ke-21 memerlukan prasarana teknologi yang bersesuaian. Penggabungjalinan elemen-elemen ini menjadikan bilik darjah sebagai tempat yang seronok untuk proses pembelajaran. (Weinstein & Mignano, 2003). Bagi membina persekitaran kondusif sudut multi-media juga perlu ada di dalam setiap bilik darjah. Di sudut ini, disediakan sebuah komputer dengan jaringan internet untuk penggunaan murid yang disambungkan ke plug elektrik yang berada di dinding bahagian tersebut. Sudut ini diletakkan berhampiran meja guru bagi memudahkan murid mendapat bimbingan guru semasa penggunaannya. Ini juga dapat memberi kelebihan kepada guru untuk memantau murid-murid agar menggunakan multi-media secara bijak dan bermanfaat. Guru juga perlu menyediakan peraturan penggunaan multi-media. Rasionalnya adalah supaya semua murid dapat menikmati kemudahan ini di samping pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar dan mengelakkan berlakunya kerosakan atau kemalangan.
            Sudut bacaan
     Di satu sudut di bahagian belakang kelas dikhaskan sebagai sudut bacaan. Di sudut ini, dihamparkan permaidani dan diletakkan beberapa bantal untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada dirumah. Beberapa rak yang memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar, majalah turut disusun di sudut ini untuk bacaan umum dan rujukan murid. Bahan-bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menjaganya kerana merasakan mereka turut memberi sumbangan bahan bacaan. Peraturan penggunaan ruangan ini turut dibina seperti bahan bacaan tidak boleh dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu disusun kembali di atas rak selepas digunakan, buku yang rosak harus diganti dan sebagainya. Peraturan sebegini boleh mengelakkan berlakunya kerosakan dan kehilangan bahan bacaan ini. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.
            Pencahayaan dan pengudaraan
     Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk keselesaan murid dan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan yang mencukupi. Guru haruslah memastikan alat elektrik ini berfungsi dan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika terdapat kerosakan.  Susun atur perabot dalam bilik darjah juga hendaklah disusun dengan baik supaya tidak menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk pengudaraan.
            Meja bulat
    Meja bulat diletakkan di sudut kiri atau berdekatan dengan pintu di bahagian belakang kelas. Ini adalah bagi membolehkan murid berehat atau berbincang mengenai aktiviti-aktiviti atau tugasan-tugasan tertentu.
            Tempat simpanan bekal makanan
   Selain itu, untuk membina persekitaran yang kondusif juga, guru bolehlah menyediakan tempat simpanan bekalan makanan. Satu peraturan mewajibkan semua murid dikehendaki menyimpan bekal makanan masing-masing di tempat ini perlu dilaksanakan. Hal ini kerana sekiranya terdapat murid yang membawa bekal makanan dan diletakkan di meja murid, andainya makanan itu tertumpah, ruang meja murid akan kotor dan mungkin juga akan mengotorkan buku-buku murid. Selain daripada itu, bekal makanan itu juga boleh menarik perhatian murid sehingga mengganggu tumpuan murid semasa belajar. Dengan adanya tempat simpanan bekal murid ini, masalah-masalah ini tidak wujud dan kelas kelihatan lebih kondusif.
            Papan kenyataan
     Pada papan kenyataan ini hendaklah dimuatkan jadual tugasan murid, hasil kerja murid, dan gambar aktiviti murid pada papan kenyataan untuk rujukan dan hiburan. Dalam jadual tugasan ini, murid-murid dibahagikan mengikut turutan hari dan tugas membersihkan kelas. Ini dapat melatih sifat bertaggungjawab dan kelas akan kelihatan bersih sepanjang hari. Dengan menampal hasil kerja pula, guru dapat melahirkan rasa bangga murid-murid apabila mereka melihat hasil kerja mereka dipamerkan dan secara tidak langsung mencetuskan minat mereka untuk belajar. Dalam hasil kerja murid pula dapat memberi input yang bermanfaat kepada semua murid.
      Bakul sampah
    Dengan adanya bakul sampah, kebersihan bilik darjah dapat dijaga kerana murid-murid perlu membuang sampah ke dalam bakul sampah.
            Peti pertolongan cemas
   Peti pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas. Penggunaan peti pertolongan cemas ini perlu mendapat keizinan guru. Setiap kelas perlu mempunyai peti pertolongan cemas kerana kita tidak dapat menjangka bila berlakunya kemalangan. Dengan adanya peti ini, rawatan kecemasan dapat diberikan dengan segera apabila berlakunya kemalangan.
 Jam dan Kalendar
     Jam perlu diletakkan di hadapan kelas untuk melatih murid menghargai masa. Kalendar pula digunakan untuk rujukan tarikh. Dalam kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa penting seperti Hari Kebangsaan. Ini dapat melatih murid supaya peka dengan peristiwa-peristiwa penting sebegini.
            Rak guru
    Rak guru diletakkan di sebelah meja guru bagi kemudahan guru untuk menyimpan bahan bantu mengajar, fail-fail,  termasuk untuk kegunaan murid.
     
     RUMUSAN
Semasa menguruskan bilik darjah, guru memainkan pelbagai peranan penting. Bilik darjah merupakan sebuah komuniti kecil dan menjadi tempat di mana seorang guru dan sekumpulan pelajar saling berinteraksi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang guru untuk menguruskan bilik darjah dengan bantuan murid-murid. Dalam usaha ke arah menyediakan persekitaran yang kondusif, guru perlulah mengambil kira ciri fizikal sesebuah bilik darjah, faktor emosi dan sosial serta peraturan dan rutin yang dilaksanakan. Melalui persekitaran bilik darjah yang kondusif ini, guru dapat melahirkan pelajar yang  lebih berdisiplin dan suasana harmoni dalam bilik darjah dapat diwujudkan. Selain itu pembentukan suasana bilik darjah yang ceria dan menyeronokkan secara tidak langsung dapat  mengurangkan gejala ponteng sekolah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan mampu meningkatkan kualiti pelajar yang akan dilahirkan oleh institusi pendidikan, sekali gus dapat mengurangkan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

                                       BIBLOGRAFI / RUJUKAN 
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel.2009. Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah Laku. Shah Alam, Selangor : Oxford Fajar.
Amir Hasan Dawi. 2006. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Edisi Ketiga. KualaTanjung Malim: Quantum Books.
Chris Watkins. 2005. Classrooms as Learning Communities: What’s in it for schools?. Routledge Taylor & Francis Group.
Frazer, E. Home. 1989. Environment and The School . London: London UniversityPress.
Pengurusan Bilik Darjah yang Cekap Mewujudkan Suasana Pembelajaran yang Harmoni
(akses 25 Februari 2012)
Corak Pengurusan Bilik Darjah yang Kondusif.
Developing Classroom Expectationshttp://www.projectidealonline.org/classMgt_ClassroomExpectations.php (akses pada 13 Mac 2012)

# Credit to berryviolet-miszaza.blogspot.com